CYBERJAYA: Tiga penyampai radio 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin masih belum kembali bertugas dan terus direhatkan sehingga selesai siasatan dalaman oleh pihak Astro Radio.
Menurut Ketua Strategi Astro Radio, Rizal Sahimy, pihaknya telah pun melengkapkan siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC). Beliau turut mengesahkan bahawa lesen penyiaran tidak digantung, namun kompaun sebanyak RM250,000 telah dikenakan kepada Maestra Broadcast Network System Sdn Bhd.
โKami kini menumpukan perhatian terhadap siasatan dalaman yang dijalankan secara terperinci untuk mengenal pasti semua kelemahan yang ada. Langkah ini penting supaya insiden yang sama tidak berlaku lagi pada masa hadapan.
โPada ketika ini, Nabil, Azad dan Radin masih diberikan tempoh berehat bagi meredakan keadaan dan tekanan kerana isu ini masih hangat diperkatakan oleh orang ramai,โ ujar Rizal ketika ditemui di majlis IFtar @ Masjid Zayan FM dan Era FM di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, di sini, semalam.
Rizal menambah bahawa Astro Audio sedang giat merangka pelan pemulihan untuk membina semula reputasi stesen radio berkenaan yang terjejas akibat kontroversi itu.
Walaupun tiada Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu diperkenalkan setakat ini, Astro Radio berjanji akan meningkatkan pemantauan dengan lebih tegas untuk mengelak perkara yang sama berulang lagi.
โSOP sedia ada sudah mencukupi, tetapi kami akan memastikan ianya dipatuhi dengan lebih ketat selepas ini. Ketiga-tiga penyampai juga telah pun membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui kesilapan mereka.
โBagi memastikan mereka dapat bekerja dengan tenang dan tidak menjejaskan kesihatan mental, lebih baik mereka berehat dahulu sebelum kembali bertugas,โ jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Rizal turut memaklumkan bahawa video kontroversi yang tular tersebut sudah pun dipadamkan bagi menjaga sensitiviti pelbagai pihak.
Kontroversi ini bermula apabila ketiga-tiga penyampai tersebut didakwa mempersendakan upacara keagamaan lain dalam satu video yang tersebar luas di media sosial. Susulan insiden itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Datuk Fahmi Fadzil mengarahkan MCMC melakukan siasatan secara menyeluruh bermula 4 Mac lalu.