Bantuan RM3000 buat semua mangsa banjir di johor

admin

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor mengumumkan bantuan khas berjumlah RM11.247 juta bagi meringankan beban mangsa banjir Monsun Timur Laut (MTL) Gelombang Kelima di negeri tersebut.

Menurut Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bantuan khas berjumlah RM3,000 akan diagihkan kepada seramai 3,749 Ketua Isi Rumah (KIR) sebelum menjelang sambutan Aidilfitri. Para penerima adalah mangsa banjir yang telah berdaftar di 100 pusat pemindahan sementara (PPS) meliputi enam daerah terjejas.

Inisiatif ini merupakan kerjasama erat di antara kerajaan negeri Johor bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), serta Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ).

Selain itu, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada para peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini. Bagi membantu golongan ini, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan sebanyak RM500 kepada seramai 441 peniaga di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).

Lokasi-lokasi bazar yang akan menerima bantuan termasuklah Bazar Tebing Dato’ Onn melibatkan 48 peniaga, Bazar Jalan Pandan Ria 3 (30 peniaga), Bazar Jalan Mata Kucing, Kampung Pasir (66 peniaga), Bazar Persiaran Dahlia (150 peniaga), dan Bazar Aidilfitri MDKT yang melibatkan 147 peniaga.

Dalam usaha tambahan untuk membantu para peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri, sebanyak sembilan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan turut mengecualikan caj tertentu yang melibatkan seramai 9,839 peniaga di 180 lokasi bazar seluruh Johor.

Di samping bantuan terus kepada mangsa dan peniaga, kerajaan negeri juga memperuntukkan bantuan khas bagi membaiki kemudahan awam yang terjejas. Ini merangkumi enam buah masjid, 17 surau, dan 43 institusi pendidikan seperti sekolah agama, sekolah rendah dan menengah, serta kolej vokasional yang mengalami kerosakan akibat bencana tersebut.

See also  PKPB Seluruh Negeri Semenanjung. Ini SOP yang Perlu dipatuhi

Dalam kenyataan yang sama, Datuk Onn Hafiz turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri masih membuka peluang kepada mangsa banjir yang tidak berdaftar di PPS untuk membuat rayuan bantuan. Rayuan boleh dikemukakan di Pejabat Daerah yang terlibat iaitu Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Kluang dan Batu Pahat sehingga penghujung April ini.

Kerajaan negeri Johor menyuarakan rasa dukacita yang mendalam atas bencana yang telah menjejaskan seramai 13,089 mangsa daripada 3,749 keluarga tersebut. Beliau berharap, bantuan ini akan membantu mengurangkan beban yang ditanggung mangsa serta mampu menjadi pemangkin semangat untuk mereka pulih dan memulakan kehidupan baharu dengan lebih baik, insya-Allah. – BERNAMA

Leave a Comment