KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, mengucapkan tahniah kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kejayaan mereka menjulang kejuaraan Liga Super 2024-2025.
Ucapan penghargaan itu disampaikan oleh Baginda menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
“Pencapaian luar biasa ini menandakan kejuaraan liga ke-11 berturut-turut buat Harimau Selatan dan merupakan piala ke-29 sejak ditubuhkan oleh DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor pada tahun 2013,” titah Baginda.
JDT Kukuhkan Dominasi, Perak FC Jadi Mangsa
Kejuaraan kali ini disahkan selepas JDT berjaya menundukkan Perak FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Gol pertama pasukan kendalian Hector Bidoglio hadir menerusi sentuhan pemain import dari Sepanyol, Jese Rodriguez, di penghujung babak pertama. Jorge Obregon, pemain dari Colombia, kemudian menggandakan kelebihan pasukan tuan rumah menerusi sepakan penalti pada minit ke-64.
Kemenangan ini membolehkan JDT mengumpul 58 mata selepas 20 perlawanan, jauh meninggalkan pencabar terdekat, Selangor FC, yang setakat ini hanya mengumpul 42 mata dalam 19 perlawanan.
JDT Kejar Rekod ‘Triple Quadruple’
Musim ini, JDT sudah pun mengangkat Perisai Sumbangsih, Piala FA, dan Liga Super. Kini, tumpuan beralih kepada Piala Malaysia, dengan misi mengekalkan kejuaraan apabila bertemu Sri Pahang FC dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 12 April.
Jika berjaya menewaskan Sri Pahang, JDT bakal melakar sejarah dengan “triple quadruple”—menjuarai empat piala dalam tiga musim berturut-turut, satu pencapaian yang belum pernah diungguli mana-mana kelab di Malaysia.
JDT terus membuktikan bahawa mereka adalah kuasa besar bola sepak tempatan, dengan kejuaraan yang seakan sukar digugat pasukan lain.