KUALA LUMPUR: Selepas dua kali tertangguh, aksi Liga Super yang dinanti-nantikan antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 10 November 2024.
Perubahan venue tersebut diumumkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi kenyataan rasmi, yang memaklumkan bahawa perlawanan tersebut, asalnya dijadualkan di Stadium Perak, dipindahkan atas faktor keselamatan. MFL telah meminta Perak FC menyediakan venue alternatif bagi memastikan keselamatan untuk perlawanan berprofil tinggi ini dan untuk mengelakkan risiko penangguhan tambahan yang boleh menjejaskan jadual Liga Super musim ini.
“MFL sebelum ini telah meminta Perak FC untuk menamakan venue alternatif berikutan risiko keselamatan bagi perlawanan berprofil tinggi ini. Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini yang mungkin akan menangguhkan lagi jadual Liga Super bagi separuh musim ini yang masih belum lengkap,” jelas MFL. Sebagai tindak balas, Perak FC memilih SSI sebagai gelanggang untuk perlawanan yang tertunda tersebut.
Sebelum ini, pertemuan antara kedua-dua pasukan pada 17 Ogos 2024 dan 5 Oktober 2024 terpaksa ditunda akibat hujan lebat, yang menyebabkan kekecewaan kepada penyokong yang mengharapkan perlawanan terakhir di Stadium Perak menjadi kenangan indah.
Keputusan mengadakan perlawanan ini di SSI juga bertujuan memastikan undian Piala Malaysia 2024/25 pada 11 November 2024 dapat dijalankan mengikut jadual tanpa sebarang penangguhan.