CHUKAI: Seorang pengerusi masjid di sebuah daerah di negeri ini telah direman selama enam hari selepas dipercayai terlibat dalam mengemukakan senarai nama penerima zakat asnaf berstatus miskin yang tidak layak kepada sebuah badan kebajikan swasta.
Suspek yang berusia dalam lingkungan 50-an itu dibawa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mahkamah Majistret Kemaman hari ini, dan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin membenarkan tahanan reman tersebut sehingga 10 November ini.
Menurut sumber, suspek telah ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman pada kira-kira jam 2.45 petang semalam. Siasatan awal mendapati kesalahan itu dilakukan sekitar April lalu, di mana senarai yang dikemukakan mengandungi 50 penerima zakat dengan nilai RM1,000 seorang.
Dana zakat tersebut didapati diperoleh daripada sebuah syarikat minyak di negeri ini di mana suspek juga berkhidmat sebagai salah seorang pekerja. Menurut sumber, antara penerima yang disenaraikan termasuk isteri suspek, yang turut ditahan namun telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes ini disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. Beliau juga menyatakan tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan bagi membantu siasatan.