KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti langkah memperkenalkan mekanisme kawalan kos perubatan, termasuk sistem Diagnostic Related Group (DRG) atau kumpulan berkaitan diagnosis. Langkah ini bertujuan memastikan perkhidmatan kesihatan di Malaysia menjadi lebih adil dan mampu milik bagi semua lapisan masyarakat.
Perdana Menteri berkata, usaha ini merupakan sebahagian daripada langkah jangka panjang yang akan dilaksanakan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menangani isu kenaikan premium insurans perubatan yang kini dilaporkan meningkat antara 40 hingga 70 peratus.
โKita perlu mengawal kenaikan kos yang tidak munasabah ini. Sistem DRG adalah antara kaedah terbaik yang sedang dipertimbangkan bagi memastikan caj perubatan lebih telus dan terkawal,โ jelasnya.
Pindaan Akta Kesihatan Swasta
Selain DRG, kerajaan juga bercadang untuk meminda Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) bagi mengawal caj konsultasi perubatan dan prosedur lain yang berkaitan.
โKemungkinan besar Akta 586 akan dipinda untuk mengawal caj perubatan swasta yang semakin meningkat. Ini akan membolehkan kita menetapkan caj maksimum bagi perkhidmatan tertentu agar tidak berlaku kenaikan mendadak,โ katanya.
Langkah Jangka Pendek Kawal Kenaikan Premium Insurans
Bagi langkah jangka pendek, Bank Negara Malaysia (BNM) dan KKM akan bekerjasama untuk menentukan kawalan kenaikan premium insurans perubatan agar tidak terlalu tinggi sehingga membebankan pesakit.
โKita tidak boleh izinkan kenaikan yang mendadak. Kalau naik sedikit masih boleh diterima sementara sistem DRG dan Akta 586 dikuatkuasakan,โ katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan sedang menggesa KKM mempercepatkan pelaksanaan langkah ini seawal tahun depan bagi memastikan kos perubatan dapat dikurangkan dalam tempoh terdekat.
Standarisasi Kos Perubatan Melalui DRG
Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa sistem DRG akan memperkenalkan standarisasi kos perubatan, termasuk bayaran untuk imbasan seperti MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) dan CT-Scan (Imbasan Tomografi Berkomputer).
โDi Malaysia, kawalan kos perubatan yang standard masih belum ada. Pakar menentukan caj mengikut budi bicara masing-masing. DRG akan menetapkan garis panduan kos yang munasabah untuk setiap prosedur,โ jelasnya.
Beliau memberi contoh bahawa kos perubatan di hospital swasta perlu ditentukan berdasarkan kadar pasaran yang dikawal supaya pesakit tidak terbeban dengan caj berlebihan.
Langkah ini diambil sebagai usaha kerajaan untuk memastikan sistem kesihatan negara terus mampan, berdaya saing dan mampu dimanfaatkan oleh semua rakyat.