PARIS: Peninju Algeria, Imane Khelif, yang berhadapan kontroversi mengenai kelayakan jantinanya untuk bertanding dalam kategori wanita di Sukan Olimpik, telah mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan media yang membocorkan rekod perubatannya. Menurut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Khelif mengambil langkah ini susulan laporan dari media Perancis yang mendakwa beliau mempunyai kromosom XY.
Kontroversi ini bermula pada Olimpik Paris 2024 selepas Khelif berjaya mengalahkan lawannya, Angela Carini dari Itali, dalam tempoh 46 saat. Pertarungan tersebut mencetuskan perdebatan hangat yang turut menarik perhatian tokoh-tokoh politik dan personaliti terkenal, termasuk Perdana Menteri Itali, Giorgio Meloni, dan penulis JK Rowling.
Dalam kenyataan rasmi, IOC menyatakan bahawa pihaknya tidak akan mengulas mengenai tindakan undang-undang yang diambil oleh Khelif atau laporan media yang tidak disahkan. IOC juga menambah bahawa Khelif telah bertanding dalam kategori wanita di pelbagai kejohanan antarabangsa, termasuk Olimpik Tokyo 2021 dan kejohanan dunia anjuran Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA).
Khelif yang disambut sebagai wira di Algeria selepas kejayaannya, turut memfailkan aduan di Perancis bagi gangguan dalam talian yang diterimanya.