Hening Rindu Dinobatkan Sebagai Juara AJL39

admin

Kuala Lumpur: Lagu Hening Rindu nyanyian Marsha Milan ciptaan Ikhwan Fatanna & Wan Saleh dengan lirik oleh Ikhwan Fatanna diumumkan sebagai pemenang utama Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.

Kemenangan ini melayakkan mereka membawa pulang hadiah utama bernilai RM100,000 berserta trofi.

Naib juara pula menjadi milik lagu Bukan Lagi Kita dendangan Nadeera Zaini, hasil ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh yang berjaya memperoleh wang tunai RM50,000 berserta trofi.

Manakala tempat ketiga diraih lagu Saksama yang dinyanyikan oleh Akim & The Majistret. Lagu ini merupakan ciptaan kumpulan tersebut dengan lirik oleh Bunga Cantik, membawa pulang hadiah bernilai RM30,000 berserta trofi.

Persembahan dan Vokal Terbaik

Bagi kategori Vokal Terbaik, anugerah ini menjadi milik Ernie Zakri menerusi lagu Aura, sekaligus melayakkannya menerima hadiah RM12,000 berserta trofi.

Sementara itu, kategori Persembahan Terbaik yang turut dipilih berdasarkan undian penonton dimenangi oleh Aina Abdul menerusi lagu Puas Sudah, membawa pulang hadiah bernilai RM12,000.

Barisan Finalis dan Juri Profesional

Sebanyak sepuluh lagu berentap dalam pusingan akhir AJL39, antaranya:

  • Sengaja (Amir Masdi)
  • Puas Sudah (Aina Abdul)
  • Saksama (Akim & The Majistret)
  • Diam (Hael Husaini)
  • Hening Rindu (Marsha Milan)
  • Aura (Ernie Zakri)

AJL39 dinilai oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ahmad Izham Omar, Datuk Hattan, Datuk Fauziah Nawi, Fauziah Latif, Ad Samad, LY, Edrie Hashim, Siti Hajar, serta Edry Abdul Halim selaku ketua juri.

Gandingan Hos dan Siaran Langsung

Mengangkat tema Nada Rasa, AJL39 menampilkan dua pengacara dari generasi berbeza, Naz Rahman dan Sissy Imann, yang berjaya mengemudi acara dengan penuh gaya dan tenaga.

See also  Shiha dan Ieda Zikir Dinobat Juara Famili Duo Musim Keempat

Sementara itu, acara Karpet Merah dimeriahkan oleh Fikry Ibrahim dan Malia Baby.

Selain bersiaran langsung di TV3, AJL39 turut distrim secara eksklusif melalui platform Tonton di www.tonton.com.my atau menerusi aplikasi Tonton.

Penaja dan Persembahan Istimewa

AJL39 dibawakan oleh Samsung selaku penaja utama dengan Unifi Mobile sebagai rakan penaja. Manakala HotFM, OhBulan!, XTRA, dan SEISMIK turut menjadi rakan digital rasmi bagi acara ini.

Sebagai pembuka tirai, persembahan bertenaga daripada Wany Kayrie, Ara Johari, Shiha Zikir & Noki berjaya memanaskan suasana.

Lebih istimewa, pentas AJL39 turut menyaksikan kemunculan legenda muzik tanah air, Datuk M. Nasir, yang membawakan lagu runut bunyi filem Ejen Ali The Movie 2 berjudul Hanya Kamu buat pertama kali.

Dengan gabungan elemen muzik elektronik segar dan suntikan vokal ikoniknya, persembahan M. Nasir bukan sahaja menggamit kenangan peminat, tetapi juga mengingatkan kejayaan beliau sebagai artis pertama yang pernah menjuarai AJL sebanyak tiga kali pada tahun 1994, 1997, dan 1999.

Turut mencuri tumpuan ialah kemunculan dua bintang rock era 1990-an, Amir Ukays dan Sham Visa. Amir menghiburkan penonton dengan lagu Pahit Akan Manis Akhirnya dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, manakala Sham Visa tampil dengan Untukmu Selamanya serta Dalam Gerimis.

Dengan pelbagai elemen kejutan dan persembahan hebat, AJL39 sekali lagi membuktikan ia sebagai pentas berprestij yang terus mengangkat industri muzik tempatan ke tahap lebih tinggi.

Leave a Comment