BN Susah Peroleh Kemenangan – Rafizi

KUALA LUMPUR: PKR mendakwa Barisan Nasional (BN) berdepan laluan sukar untuk menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengambil kira majoriti rakyat yang tidak berpuas hati dengan prestasi gabungan itu.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata ramalan itu dibuat berdasarkan statistik tinjauan dibuat parti itu yang menyaksikan 63 peratus rakyat tidak berpuas hati dengan Kerajaan Persekutuan, manakala 78 peratus kecewa dengan prestasi ekonomi negara.

“Saya mahu cakap di sini, tiada bukti yang menyokong UMNO menang besar pada PRU ini.

“Undi golongan muda berusia 18 hingga 24 tahun sukar diramal, dengan 84 peratus daripada golongan berkenaan tidak berpuas hati terhadap ekonomi negara serta kaedah digunakan kerajaan untuk mengendalikan masa depan mereka.

“Ini kerana isu negara tidak berubah, malah semakin teruk kerana kos sara hidup meningkat,” katanya seperti dilaporkan FMT ketika berucap pada kempen ‘Ayuh Malaysia’ di sini, malam tadi.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Pakatan Harapan (PH) pasti berdepan tugas sukar untuk ‘memperbaiki’ isu yang melanda negara sekiranya gabungan itu menang pada PRU15.

Malah, katanya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengurangkan pelbagai subsidi ketika beliau menerajui kerajaan sebelum ini.

“Ketika PH menang pada 2018, harga minyak terpaksa distabilkan kerana subsidi mesti menjadi mekanisme paling baik untuk kita elakkan wang pergi (masuk) ke dalam poket mereka.

“Najib fikir bijak untuk potong subsidi ketika itu, tetapi lihatlah keadaan sekarang. Kerajaan pimpinan (bekas Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak berani potong subsidi kerana tahu ia adalah kesilapan,” katanya.

Beliau berkata, BN juga gagal menyelesaikan isu membabitkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga akhirnya hutang PTPTN menjadi RM40 billion pada 2018.

See also  Akta Kerja - Maklumat Dan Hak Pekerja

“Kami cuba selesaikan isu ini dengan memastikan mereka berpendapatan (lebih) RM4,000 perlu bayar (hutang), tetapi mereka yang bekerja dengan gaji tidak setimpal, tidak perlu kena bayar. Kami cari kaedah lain bayar balik pinjaman itu.

“Bagaimanapun, hutang terkumpul (BN) terlalu banyak. Sebab itu penting untuk undi kerajaan yang boleh mengukuhkan ekonomi,” katanya.

Leave a Comment