KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan, Hasan Azhari Hashim, mengemukakan surat tuntutan kepada kerajaan untuk membayar ganti rugi sebanyak RM1.3 juta berikutan dakwaan penyalahgunaan hak cipta bagi Program Nombor Plat Khas Kenderaan ‘Madani 1 hingga Madani 9999’.
Surat tuntutan itu diserahkan melalui firma guaman Raj & Sach kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan, menyatakan Hasan Azhari sebagai pemilik sah hak cipta karya untuk siri nombor plat tersebut. Menurut surat itu, karya tersebut telah didaftarkan di bawah No Pemberitahuan: CRYL2023J00697 dalam Daftar Hak Cipta.
Hasan Azhari mendakwa telah mengusulkan kerjasama kepada Perdana Menteri pada awal tahun ini untuk menjual siri nombor plat ‘MADANI 1-9999’, namun permohonan tersebut ditolak atas alasan peraturan JPJ tidak lagi membenarkan pengeluaran Nombor Pendaftaran Khas (NPK) kepada syarikat swasta.
Walaupun begitu, pada bulan lalu, JPJ mengeluarkan notis awam mengenai siri plat ‘MADANI’, yang dikatakan melanggar hak cipta Hasan Azhari. Beliau kini menuntut pampasan untuk kerugian yang dialami dan separuh hasil jualan plat tersebut bernilai RM1.3 juta dalam masa tujuh hari dari tarikh surat tuntutan.