PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan bahawa daripada 94,275 pengendali makanan yang diperiksa sepanjang tempoh enam bulan hingga Jun lalu, seramai 14,457 gagal mendapatkan suntikan antitifoid seperti diwajibkan.
Dalam satu kenyataan, KKM menyatakan tindakan penguatkuasaan telah dikenakan terhadap pengendali dan pemilik premis makanan yang tidak mematuhi peraturan tersebut, yang ditetapkan di bawah Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Peraturan ini mensyaratkan semua pengendali makanan, baik warga tempatan mahupun bukan, untuk mendapatkan suntikan antitifoid daripada pengamal perubatan berdaftar.
Menurut KKM, daripada pemeriksaan yang dijalankan, 84.7 peratus atau 79,818 pengendali makanan telah memenuhi keperluan suntikan antitifoid tersebut.
Sepanjang tempoh yang sama, pemeriksaan ke atas 63,784 premis makanan di seluruh negara mendapati 910 premis tidak mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan dan diarahkan untuk ditutup sementara bagi tujuan pembetulan. Selain itu, sebanyak 16,415 notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983.
Menurut KKM, di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983, arahan penutupan boleh dikenakan ke atas premis yang kotor atau tidak bersih bagi tempoh tidak lebih 14 hari. Sekiranya arahan ini tidak dipatuhi, pemilik premis boleh didakwa dan, jika sabit kesalahan, berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
KKM turut mengingatkan semua pengendali dan pemilik premis makanan untuk memastikan amalan kebersihan yang baik serta mematuhi undang-undang demi menjamin kesihatan dan keselamatan awam. Bagi orang ramai, KKM mengesyorkan untuk memilih premis dengan logo Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) dan mengamalkan panduan “Lihat, Hidu, Rasa” sebagai langkah awal mencegah keracunan makanan.
Selain itu, jika terdapat isu kebersihan makanan, orang ramai digalakkan untuk melaporkan dengan menyertakan lokasi premis dalam media sosial agar tindakan segera dapat diambil.